Apakah yang dilakukan golongan Melayu selepas bersara?

Golongan pesara yang melewati usia 60 tahun sering menganggap diri mereka sudah tidak diperlukan anggota keluarga dan masyarakat sekeliling berikutan tidak lagi bekerja dan berpendapatan tetap.

Mereka ini ibarat “penganggur terhormat” yang tidak lagi diperlukan oleh orang-orang terdekat. Apakah ini hanya andaian pesara atau menjadi kelaziman dalam komuniti Melayu sahaja atau rakyat di Malaysia secara amnya?

Bayangkan bagaimana perasaan seorang bos setelah tidak lagi dirujuk kakitangan, dihubungi untuk memberitahu perkembangan tugas harian dan sebagainya.  Apatah lagi jika pesara hanya seorang kakitangan biasa.

 Sedih dan peritnya rasa hati bila memikirkan nasib masa depan yang tidak menentu walaupun pada hakikatnya mempunyai ratusan ribu ringgit dalam simpanan.      

Seorang bekas kakitangan awam menerima pencen 50 peratus daripada gaji bulanan manakala  pekerja swasta hanya bergantung pada jumlah duit dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dividen yang ala kadar jumlahnya yang diumumkan setiap tahun akan dikeluarkan bagi perbelanjaan sekeluarga untuk setahun.

Kebiasaannya, jika pesara itu orang Melayu/Bumiputera setidak-tidaknya dia akan mempunyai simpanan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Nasional (ASN) dan simpanan tetap dalam Tabung Haji. Ada juga yang melabur dalam unit amanah dengan pelbagai jenama sebagai sumber pendapatan tambahan.

Bila dicampur semua bentuk dividen tersebut, maka jadilah ianya sumber pendapatan pesara untuk tempoh setahun, itupun jika perbelanjaan dilakukan secara berhemah. Sekiranya tidak, maka wang  simpanan KWSP boleh habis dalam tempoh kurang dari lima tahun umur persaraan.  

Bayangkan…betapa getirnya kehidupan ketika ini dengan keadaan kos hidup yang semakin meningkat, harga minyak naik mendadak tanpa belas ehsan dan nilai susut pertukaran ringgit Malaysia dengan wang Amerika Syarikat (AS) kian merunsingkan semua pihak terutama yang berdagang menggunakan mata wang AS.

Bayangkan kedudukan golongan pesara yang mempunyai sumber kewangan terhad,  tenaga yang semakin kurang berikutan sering mengalami tekanan darah tinggi akibat stres, tahap gula yang semakin tinggi kerana menghidap diabetes dan serangan jantung bagi penghidap pelbagai jenis penyakit kronik selain demam dan batuk.

Di manakah mereka mendapat sumber kewangan untuk membiayai kos rawatan dan pembedahan sekiranya perlu? Anak-anak yang prihatin akan membiayai insurans perubatan untuk ibu bapa mereka dan jika tidak apakah kesudahan nasib mereka ini? Mungkinkah hospital kerajaan boleh membiayai kos perubatan penyakit kronik yang dihidapi warga emas sepenuhnya?.

Seorang pesara perkhidmatan awam memberitahu, walaupun pencennya naik sebanyak dua peratus setiap tahun namun jumlah itu hanya mencukupi untuk perbelanjaannya suami-isteri.

Dalam pada itu katanya,  Kelab Persatuan Pesara Kerajaan 1M (Kupekmas) telah memohon kerajaan menaikkan kadar pencen kepada 10 peratus memandangkan kenaikan kos kehidupan yang semakin meruncing hari ini.

Bagaimanapun katanya, sehingga hari ini pihak persatuan tidak menerima sebarang jawapan daripada pihak kerajaan.     

Seorang rakan mengeluh sebaik dihentikan perkhidmatannya sebagai kakitangan kontrak di sebuah jabatan kerajaan kerana melewati usia 60 tahun.

Rakan tersebut pernah menjual beberapa barangan secara atas talian tetapi tidak mendapat sambutan lalu berkata: “Apalah nasib aku ini menjual barang tidak laku, punca pendapatan semakin berkurangan”.

Ramai rakan-rakan memberi pelbagai pendapat terhadap rintihannya itu yang dipaparkan di Facebook. Ada yang menyarankan supaya dia berehat sahaja di rumah setelah sekian lama bekerja keras untuk menanggung keluarga.

Antara jawapan yang diberikan pesara itu ialah: “Apakah bila sudah bersara, aku tidak perlu berbuat apa-apa lagi, hanya menunggu untuk mati sahaja ke?

Betul juga kata rakan itu. Hidup perlu diteruskan dengan membayar kos sara hidup yang semakin meruncing di samping kos perubatan berikutan tahap kesihatan yang kian merosot.

Jika semasa muda berdikit-dikit dalam perbelanjaan maka si pesara akan mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi hari-hari tuanya. Ada yang memiliki lebih daripada sebuah rumah untuk disewakan dan aset tersebut dengan sendirinya memberi pendapatan kepada pemilik.

Tidak kurang juga golongan yang tidak menyimpan wang berikutan pendapatan tidak seberapa tetapi mempunyai tanggungan ramai dengan anak-anak bersekolah sehingga ke universiti dan isteri pun tidak bekerja. 

Memang pening sekiranya difikir-fikirkan betapa sukar untuk menseimbangkan perbelanjaan keluarga dengan pendapatan yang tidak seberapa. Ada kes di mana pesara masih mempunyai anak-anak yang tidak berpendapatan tetap dan ini menyukarkan mereka untuk meminta sebarang bantuan daripada mereka.

Terdapat golongan pesara yang membantu anak-anak menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung kehidupan. Ada pesara mengeluh kerana tidak berbuat apa-apa di rumah, hanya membaca surat khabar, menonton TV dan pergi ke masjid bila azan berkumandang.

Oleh kerana tidak tahu hendak berbuat apa-apa, seorang pensyarah di sebuah universiti awam memberitahu: “Saya masih bekerja sebagai pensyarah kontrak kerana tidak tahu hendak berbuat apa-apa dan bosan tinggal di rumah. Isteri saya walaupun bersara tetapi melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga cucu-cucu kami.”

Seorang lagi pesara berdoa agar anak-anaknya berkahwin dan mempunyai anak supaya masanya terisi dengan menjaga cucu yang bakal dilahirkan.

Seorang rakan karib saya memilih untuk berkahwin lagi setelah bersara pada usia 55 tahun. Dia mengambil keputusan itu berikutan kesihatan isteri tuanya yang uzur.

Pesara itu berkata: “Aku tidak pernah abaikan tanggungjawab terhadap isteri tua aku. Kepada anak-anak pula aku berkata, bapa tidak meminta wang apatah lagi mengganggu kehidupan kalian. Jadi kalian jangan mengganggui hidup aku.”

Ada beberapa rakan pesara yang meneruskan karier sebagai wartawan, penulis novel dan buku-buku ilmuan bagi membantu menampung perbelanjaan harian suami-isteri dan anak-anak yang masih bersekolah.

 Ada juga yang hanya berehat di rumah menjaga isteri yang sakit, menjaga cucu yang ramai dan melakukan amal ibadah, terlibat dengan kerja-kerja kebajikan, menjadi ahli persatuan penduduk, persatuan warga emas dan juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti alumni untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Dalam apa keadaan sekalipun, jangan jadikan status sebagai pesara untuk melemahkan semangat daripada melakukan apa sahaja yang disukai walaupun pada hakikatnya masa yang terluang bagi pesara adalah untuk berehat dan menikmati hidup sebaik mungkin di usia senja ini.

  • Malaysia World News

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.