Nikmati makanan asli Hadhramaut di Hadhrami House Restaurant


Sebut sahaja hidangan dari Timur Tengah, pasti ramai yang awal-awal lagi sudah dapat membayangkan betapa enak dan lazatnya makanan yang disajikan bersama daging ayam atau kambing yang dimasak menggunakan rempah ratus dari negara Arab.

Biarpun banyak restoran yang menyediakan masakan seumpama itu, namun Hadhrami House yang terletak di  Impian Meridian Commerz, Jalan Subang 1, USJ 1, Subang Jaya, Selangor menampilkan kelainan kerana restoran ini menyediakan sajian asli yang berasal dari Hadhramaut, Yemen.

Menurut Pengurus Besar Hadhrami House, Naif Hassan Alhamimi, rangkaian restoran terbabit beroperasi di Malaysia sejak tahun 2014 selain mempunyai dua lagi cawangan di Thailand dan China.

Istimewanya, harga yang ditawarkan sangat berpatutan dari RM6 hingga RM30 untuk hidangan ‘ala carte’.

“Di Hadhrami House, kami menyajikan hidangan asli yang berasal dari Hadhramaut, Yemen terutamanya ‘nasi mandy’ dan mugalgal yang sangat sedap dan popular dalam kalangan pelanggan tempatan dan antarabangsa.

“Selain itu, kami turut menyediakan pelbagai hidangan enak seperti Mutabal, Taboulah, Kebab, Kabsah, Fahsa, Saltah, Ful Mudammas, Okra dan Dakah yang dihidangkan bersama pilihan daging ayam atau kambing yang cukup menyelerakan.

Hadhrami House Restaurant in Malaysia
Hadhrami House Restaurant VIP floor- pic MWN

“Semua jenis masakan kami sangat enak dan setiap pelanggan yang merasainya, pasti menyukainya kerana cara penyediaan kami berbeza dengan mana-mana restoran lain yang menyediakan sajian Hadhramaut di negara ini,” katanya.

Naif Hassan berkata, Hadhrami House dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 3 pagi setiap hari.

Setiap sajian yang dihidangkan di restoran itu, adalah hasil sentuhan sembilan chef berpengalaman yang didatangkan khas dari Yemen.

“Chef kami mempunyai pengalaman selama lima hingga 15 tahun dalam masakan warisan Arab. Selain menyediakan hidangan ‘ala carte’, kami juga menawarkan perkhidmatan katering dan majlis aqiqah,” katanya.

Hadhrami House Restaurant Arab chef i

Kebab ayam yang dijual dengan harga RM6 adalah antara makanan enak dan popular yang terdapat di Restoran Hadhrami House. Makanan ringan yang enak ini ranggup dimakan ketika dihidangkan panas-panas.

Sebagai pemanis mulut, pengunjung dicadangkan untuk mencuba ma’asub yang dimakan dengan madu dan ais krim.

Hadhrami House Restaurant:  Impian Meridian Commerz, Jalan Subang 1, USJ 1, Subang Jaya, Selangor 47600

– Malaysia World News

Journalists :  Ziinine Am and Ahmed Syahril Zulkeply

 

 

Graduate with a Master of Mass Communication. 10 years working experience in the media and broadcasting.

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.