Utusan lancar Harmoni, Infiniti berwajah baharu

Para tetamu istimewa terpegun dengan majalah Harmoni dan Infiniti yang berwajah baharu sebelum dilancarkan di Dewan Besar, Utusan Melayu, Chan Sow Lin, baru-baru ini.
Para tetamu istimewa terpegun dengan majalah Harmoni dan Infiniti yang berwajah baharu sebelum dilancarkan di Dewan Besar, Utusan Melayu, Chan Sow Lin, baru-baru ini.

Kuala Lumpur:-  Dua majalah, Harmoni dan Infiniti yang popular dalam kalangan pembaca baru-baru ini mengadakan Majlis Pelancaran Wajah Baharu untuk menampilkan pengisian dan format yang lebih menarik dan terkini.

Majalah Harmoni berusia 12 tahun dan berada di pasaran sejak 26 September 2004. Majalah berkonsepkan kekeluargaan dan kewanitaan ini adalah medium perkongsian ilmu yang mencakupi kehidupan dan rutin harian dalam keluarga dan masyarakat.  Dengan wajah baharu ini Harmoni menampilkan bahan-bahan bacaan yang lebih berkualiti, santai dan berinformasi.

Penolong Pengarang Harmoni, Siti Hajar Mahmud berkata, dengan berwajah baharu ini, Harmoni mengadakan kolum Q&A bersama Dr. Gee dan Kultum (kuliah tujuh minit) bersama Ustazah Nor. Segmen ini memberi input terkini untuk ibu bapa daripada aspek perubatan dan kerohanian.

Segmen untuk lelaki juga dipaparkan dengan informasi terkini meliputi ruangan gaya, fesyen, psikologi, kesihatan, gajet dan pemotoran.     

Harmoni dan Infiniti, dua majalah terbitan UKSB yang diberi nafas baharu tampil di Majlis Pelancaran Wajah Baharu di Kuala Lumpur baru-baru ini

Sementara itu, Infiniti adalah majalah bulanan yang menjurus kepada sains fiksyen berbahasa Melayu yang berkonsepkan gabungan X-Fail, ilusi, realiti dan sains. Majalah ini mendapat tempat di hati pembaca sejak Jun 2009.

Dalam wajah baharu ini, Infiniti memasukkan unsur-unsur dinamik selain memaparkan cerita-cerita yang lebih bertenaga dan mengetengahkan kerangka pemikiran logik sains yang terarah kepada nilai sejagat.

Menurut Penolong Pengarang Infiniti, Zaidi Senapi, selain mempunyai masthead baharu, reka letaknya juga diberi nafas baharu dengan beberapa perubahan pada gaya persembahannya. Unsur eksklusif diterjemahkan dalam cerita melalui temu bual dengan pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk menjawab persoalan dan memberi penjelasan terhadap perkara-perkara yang diketengahkan sesuai dengan pemikiran logik sains. 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pengarang Majalah, Utusan Karya Sdn. Bhd.,(UKSB) Ariffin Nordin berkata, wajah baharu kepada kedua-dua majalah itu adalah sebahagian inisiatif pembaharuan dan penambahbaikan yang dilakukan ke atas produk-produk keluaran UKSB.

Menurut Ariffin, dengan wajah baharu, Harmoni kini menumpukan kepada gaya hidup keluarga harmoni yang menjurus kepada gaya hidup golongan ibu bapa yang lebih muda, berkemampuan dan keluarga yang berjaya.

“Majalah Infiniti pula menampilkan bahan-bahan fiksyen sains yang menarik tetapi masih bersandarkan kepada fakta-fakta sains. Majalah ini amat sesuai untuk generasi muda yang gemarkan kepada elemen-elemen inovasi berlandaskan sains,”katanya pada Majlis Pelancaran Wajah Baharu di Dewan Besar Utusan, Utusan Melayu, Chan Sow Lin di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad;  Penolong Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hassan Mohd. Noor dan Pengarang Utusan Malaysia Datuk Zulkefli Hamzah.

Majlis itu juga menyaksikan Pengasas DMS 360, Datuk Seri Mohamad Ruslan Shah menyerahkan cek replika bernilai RM5,000 untuk tabung Rohingya Utusan-Tabung Haji kepada Datuk Abdul Aziz Ishak.-malaysiaworldnews.com          

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.