Raja Berperlembagaan boleh bertindak menurut kuasa budi bicara

2
Malaysia, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 di dalam upacara penuh istiadat di Istana Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gabungan antara Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen adalah sistem yang terbaik dalam mentadbir dan mengurus Malaysia.

Raja Berperlembagaan dianggap sebagai sebahagian daripada sistem pentadbiran negara apabila Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kedudukan dan peranan institusi raja atau monarki dalam Perlembagaan (Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan).

Demokrasi Berparlimen  pula dianggap sebagai sistem pentadbiran Malaysia kerana ciri-ciri  demokrasi seperti pilihan raya dan wujudnya institusi Parlimen.

Setakat ini, kurang analisis dibuat  tentang  tahap dan ciri-ciri  terperinci Raja Berperlembagaan dan ciri-ciri Demokrasi Berparlimen yang telah dan sedang kita amalkan sejak wujudnya Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957.

Ramai yang menganggap Raja Berperlembagaan sebagai Raja yang hanya boleh bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

 Felo Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata,  Raja Berperlembagaan di Malaysia juga diamanahkan dengan beberapa kedudukan dan peranan lain dan boleh bertindak menurut budi bicara dan tidak hanya tunduk kepada nasihat pemimpin politik.

Beliau berkata, demokrasi berubah wajah mengikut tempat dan kesesuaian  walaupun ciri-ciri asas seperti pilihan raya bebas dan adil serta wujudnya institusi Parlimen adalah dua ciri wajib dalam semua demokrasi yang diamalkan serata dunia.

Tambah Shamrahayu,  Raja Berperlembagaan adalah satu bentuk kerajaan dengan kuasa raja ditentukan oleh Perlembagaan atau undang-undang , atau adat dan amalan. Secara umum, istilah Raja Berperlembagaan difahami sebagai Raja yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri  atau jemaah menteri.

“Raja Berperlembagaan  berperanan sebagai mengesahkan kewujudan sesebuah kerajaan di samping mewakili negara dan dalam upacara rasmi untuk menunjukkan identiti dan kuasa negara tetapi tidak lebih daripada kerajaan.  

“Raja Berperlembagaan berada di luar politik. Institusi monarki ini tidak mempunyai kedudukan atau kepentingan politik. Oleh itu terdapat pemisahan antara ketua kerajaan dan ketua negara.

 “Secara simbolik ianya dapat memastikan mereka yang menerajui kerajaan sekurang-kurangnya tidak  lupa bahawa terdapat ada lagi pihak berkuasa yang lebih tinggi di atas mereka yang mewakili negara bersandarkan Perlembagaan,”kata Shamrahayu  ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen , Sistem Terbaik Bagi Malaysia.”

Shamrahayu memberitahu demikan pada Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa: “Menyingkap Perjuangan Bangsa” di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam baru-baru ini.

Raja Berperlembagaan dalam banyak bidang kuasa jelas beliau, dilarang oleh undang-undang atau adat daripada membuat komen yang boleh ditafsirkan oleh orang ramai sebagai melibatkan diri dalam politik serta mengundang kontroversi.

Beliau memberitahu, Raja Berperlembagaan juga mempunyai peranan penting dalam bidang agama dan bertindak sebagai ketua institusi agama dan mempunyai amanah bagi menjaga kedudukan agama.

“Sistem Raja Berperlembagaan juga boleh diamanahkan dengan kuasa budi bicara tertentu dan dibuat menerusi undang-undang atau amalan perlembagaan. Kuasa budi bicara adalah dikecualikan daripada mendapatkan nasihat daripada  Jemaah Menteri. Oleh itu apa juga tindakan budi bicara itu tidak tertakluk kepada prinsip Kebertanggungjawaban  Menteri atau “Ministerial Responsibility”.

“Konsep dalam amanah kuasa budi bicara dianggap sebagai aspek timbang  tara perlembagaan. Ianya berkaitan dengan penyelenggaraan perintah Perlembagaan yang demokratik dan timbang tara pertikaian politik antara badan-badan kerajaan (iaitu bertindak sebagai keseimbangan antara parlimen,kerajaan dan rakyat).  

“Kuasa budi bicara ini mungkin termasuk kuasa untuk melantik dan memecat perdana menteri yang tertakluk kepada kepercayaan majoriti ahli Dewan Parlimen.

“Kuasa untuk membubarkan  Parlimen sekiranya Perdana Menteri sudah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Parlimen. Ianya juga mempunyai kuasa untuk menolak permintaan bagi pembubaran Parlimen sekiranya berpuas hati kerajaan telah hilang kepercayaan dan kerajaan baharu boleh dibentuk dan kerajaan baharu itu diyakini oleh Raja bahawa ianya menikmati keyakinan Parlimen serta boleh dibentuk tanpa pilihan raya.  Raja Berperlembagaan boleh bertindak secara budi bicara (walaupun hanya dalam keadaan jarang berlaku) menolak persetujuan kepada undang-undang,’’ jelas beliau panjang lebar.

Di negara ini tambah beliau,  kita mempunyai institusi raja yang stabil dan oleh demikian ianya layak dijadikan mekanisme  semak dan imbang dalam konteks demokrasi terutama dalam keadaan politik yang tidak menentu. Perlu diingatkan bahawa negara-negara yang stabil dan aman di dunia mengamalkan sistem beraja.

– Malaysia World NewsRemove featured image

2 Comments

  1. My brother recommended I might like this blog. He was entirely right. This post truly made my day. You cann’t imagine simply how much time I had spent for this information! Thanks!

    Reply
  2. I do not know if it’s just me or if perhaps everyone else experiencing issues with your blog. It looks like some of the written text within your content are running off the screen. Can someone else please comment and let me know if this is happening to them too? This may be a issue with my browser because I’ve had this happen previously. Many thanks

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *