Rohani gesa polis tangkap pihak jual bayi

Datuk Seri Rohani Abdul Karim
Datuk Seri Rohani Abdul Karim

KUALA LUMPUR 26 November- “Siasat dan tangkap semua pihak yang terlibat  dalam aktiviti penjualan bayi yang dilakukan di Malaysia,” gesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak , pihaknya memandang isu penjualan kanak-kanak itu sebagai perbuatan yang  kejam dan tidak bermoral.

Menurutnya, di bawah Seksyen 48 Akta Kanak –kanak 2001 [Akta 611] menetapkan sesiapa yang terlibat dalam pemerdagangan kanak-kanak  telah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun  atau kedua-duanya.  

Sekiranya dibuat bagi tujuan eksploitasi seksual atau pelacuran, jelas Rohani, tertuduh  boleh dihukum di bawah Seksyen 43(1)(aa) Akta yang sama iaitu dengan denda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 15 tahun atau kedua-duanya.

Rohani menjelaskan perkara itu berikutan laporan bertajuk “Malaysia Babies For Sale-101 East” yang disiarkan Al-Jazeera mulai 25 November di mana  antaranya menyiarkan ibu bapa mengambil risiko membeli anak atau mengambil anak angkat.  

Selain itu kata Rohani, dalam pindaan Akta Kanak-kanak 2001 baru-baru ini, KPWKM telah memasukkan elemen yang membolehkan Malaysia melaksanakan konsep “Pemeliharaan Berasaskan Keluarga(PBK).”

Beliau berkata, konsep ini mengutamakan penjagaan kanak-kanak oleh keluarga dan menjadikan institusi sebagai pilihan terakhir kerana keluarga adalah tempat yang paling baik untuk kanak-kanak membesar. 

Beliau memberitahu demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KPWKM di sini hari ini. 

Menteri itu juga memberitahu, dengan konsep ini, kerajaan perlu mempermudahkan prosedur  pengangkatan (adoption) dan pemeliharaan (fostering) bagi menyenangkan rakyat Malaysia untuk menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan di  rumah anak yatim.

Sehubungan itu, KPWKM menyeru kepada ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat atau anak pelihara menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bagi mendapatkan nasihat daripada Pegawai JKM. Mereka akan membantu mendapatkan anak melalui kaedah yang betul dan membimbing  mereka menjadi ibu bapa penyayang. – malaysiaworldnews.com

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.