China-Malaysia: Qingzhou sedia terima sarang burung walit mentah Malaysia

Ahmad Shabery mendengar taklimat mengenai persediaan Makmal Pemeriksaan Sarang Burung Walit dan makanan sihat bernutrisi daripada He Ri An.
Ahmad Shabery mendengar taklimat mengenai persediaan Makmal Pemeriksaan Sarang Burung Walit dan makanan sihat bernutrisi daripada He Ri An.

QINZHOU, 3 Nov. – Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia  bersedia menerima sarang burung walit mentah belum bersih Malaysia yang akan dieksport ke China melalui daerah Qinzhou.

 Perkara itu dimaklumkan Pengarah Makmal Pemeriksaan Sarang Burung Walit dan Makanan Sihat Bernutrisi (bird nest and nutritional health food laboratory) He Ri An dalam sesi lawatan rasmi  Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, (MOA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke makmal tersebut di sini hari ini.

Makmal bernilai lebih RM22 juta (36 juta yuan) itu memulakan operasinya sebagai pusat pemeriksaan sampel makanan dan juga sarang burung walit.  Makmal tersebut akan berfungsi sebagai pusat pemeriksaan sampel-sampel sarang burung mentah belum diproses bagi memastikan ianya mematuhi tahap yang  ditetapkan dalam Protokol Keperluan Pemeriksaan, Kuarantin dan Kebersihan Veterinar bagi Pengeksportan Sarang Burung Walit Mentah Belum Bersih Malaysia ke China.

Protokol tersebut  ditandatangani kerajaan Malaysia dan China, di Beijing dengan disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan rakan sejawatannya Li Keqiang, pada Isnin lepas di Beijing.

 

Rombongan MOA yang diketuai Ahmad Shabery diberi penerangan cadangan pembangunan Taman Perindustrian China Malaysia Qinzhou (China-Malaysia Qinzhou Industrial Park).
Rombongan MOA yang diketuai Ahmad Shabery diberi penerangan cadangan pembangunan Taman Perindustrian China Malaysia Qinzhou (China-Malaysia Qinzhou Industrial Park).

Protokol ditandatangani Ahmad Shabery mewakili Malaysia dan Zhi Shuping, Menteri General Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine China (AQSIQ) itu akan membolehkan produk sarang burung walit mentah belum bersih dieksport ke negara tersebut.

 Ahmad Shabery berkata, perkara ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk industri sarang burung walit Malaysia, kerana sebelum ini hanya sarang burung walit  telah dibersihkan dengan kuota 30 metrik tan sahaja boleh dieksport ke China.

 “Ini tentunya memberikan kelebihan dan boleh meningkatkan pendapatan kepada lebih 10,000 pengusaha sarang burung walit di Malaysia kerana kini mempunyai pasaran yang lebih besar,” katanya di sini hari ini.

 Malaysia menghasilkan hampir 300 metrik tan sarang burung walit setahun. Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata, pihak kementerian akan berusaha untuk memastikan pengeksportan tersebut akan dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan.

Ini kerana menurutnya, terdapat 35 perkara yang terdapat dalam protocol tersebut yang perlu dilaksanakan oleh kedua-dua pihak bagi memenuhi keperluan yang ditetapkan.

 “Semalam Perdana Menteri memaklumkan mahu ianya dilaksanakan secepat mungkin, dan saya percaya ianya boleh terlaksana dalam tempoh enam bulan,” katanya.

 Ketika lawatan tersebut, Ahmad Shabery turut menyaksikan majls menandatangani perjanjian kerjasama antara Taman Perindustrian ChinaMalaysia Qinzhou (Guangxi) bersama Netfarm Solution Sdn Bhd. Perjanjian tersebut adalah bagi menyediakan satu kerjasama bagi melaksanakan kerja-kerja penyediaan ke arah pengeksportan sarang burung walit ke China melalui Qinzhou.