Noh Omar dilantik menteri dalam perubahan anggota kabinet

Noh Omar
Noh Omar

KUALA LUMPUR 27 JUN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perubahan dalam kabinet hari ini menyaksikan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Mohamad Noh Omar kembali menjadi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Sementara itu Datuk Rahman Dahlan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Othman Aziz, yang juga ahli Parlimen Jerlun, Kedah pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mohamad Noh dalam satu kenyataan menyatakan beliau terharu dengan kepercayaan yang diberikan terhadap beliau untuk kembali menyertai Kabinet.

Menurut Noh, pelantikan itu adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul untuk membantu masyarakat miskin bandar yang memerlukan pelbagai kemudahan.

Pelantikan itu juga kata beliau, akan meningkatkan tahap kepemimpinan Barisan Nasional (BN), Selangor di mata rakyat.

Sehubungan itu, Datuk Johari Ghani yang dilantik Menteri Kewangan Kedua memberitahu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah adalah mentor kepada beliau yang turut memberi kebebasan kepadanya untuk membantu dunia korporat dan menyelesaikan masalah kewangan semasa memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.

Johari  dinaikkan pangkat berikutan Ahmad Husni memohon untuk bersara daripada jawatan tersebut

Sementara itu, Datuk Seri Mah Siew Keong bertukar ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi menggantikan  Datuk Douglas Unggah Embas manakala Datuk Nasrun Mansur dilantik Timbalan Menteri di kementerian itu bagi menggantikan tempat arwah Tan Sri Noriah Kasnon yang meninggal dunia dalam tragedi helikopter di Sarawak bulan lalu.

Sementara itu Najib juga mengumumkan jawatan lain antaranya Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong. – malaysiaworldnews.