Taska dipercayai dera bayi tidak berdaftar dengan JKM

ROHANI ABDUL KARIM
ROHANI ABDUL KARIM

KUALA LUMPUR 4 Jun _Kes bayi berusia empat bulan dipercayai  didera pengasuh taska  dan menjadi viral di media sosial kini disiasat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana menyebabkan berlakunya penganiayaan terhadap bayi tersebut.

Menurut beliau,  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pelindung di daerah telah mengadakan siasatan terhadap taska tersebut pada 1 Jun 2016 dan didapati ianya tidak berdaftar dengan JKM.

“Ekoran itu, JKM mengeluarkan surat peringatan untuk mendaftarkan taska dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat. Sekiranya gagal dalam tempoh yang diberikan untuk mengemukakan dokumen yang diperlukan, taska itu boleh dilak.

“Pengusaha juga akan menampal notis tutup sementara taska, bermula 6 Jun ini dan  akan membuka semula taska setelah didaftarkan. JKM memberi perhatian serius terhadap kebajikan bayi tersebut di samping menawarkan khidmat kaunseling kepada ibu mangsa,’’ kata Rohani dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu beliau menyatakan terkejut, sedih dan kecewa dengan kejadian yang menimpa bayi itu dan berharap kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi.

Rohani juga berharap semua pihak segera membuat aduan dengan menghubungi Talian Kasih 15999 untuk melaporkan tentang kes penderaan seperti itu. _ malaysiaworldnews

 

more recommended stories