Khairy cabar belia jadi usahawan produk halal

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerima cenderahati selepas menyaksikan acara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan antaranya HIVE yang diwakili Don Nazwin Don Najib (kanan) dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun (kiri) sempena Persidangan Halal Sedunia 2016 di KLCC baru-baru ini.

GOLONGAN belia dicabar supaya menjadi usahawan dan pembekal produk-produk halal dan bukan selama-lamanya menjadi pelanggan.

“Mengapa mereka (belia) perlu menjadi usahawan?” tanya Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapannya “Belia, gaya hidup dan halal” sempena Persidangan Halal Sedunia 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Menurut beliau, usahawan muda tahu dan memahami kehendak dan keperluan rakan-rakan sebaya mereka termasuk yang Islam dan bukan Islam.

Golongan belia kata Khairy, turut dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan, justeru itu mudah untuk menarik rakan-rakan sebaya untuk menceburi bidang yang diusahakan.

“Orang-orang muda juga pandai menggunakan Internet dan media sosial, memahami pendekatan dan menggunakan alat-alat yang diperlukan,” ujarnya.

Mereka juga katanya, lebih  mudah untuk menyesuaikan diri berikutan membesar dengan perubahan teknologi yang pesat mengikut trend.

Sekitar ruang pameran produk-produk halal di KLCC baru-baru ini.

Tambahnya, hari ini sebanyak 94 peratus  golongan belia menggunakan khidmat “online” setiap hari dan 24 peratus menggunakannya dengan kerap.

Berhubung e-dagang jelasnya, sebanyak 89 peratus menggunakan peranti bergerak untuk berhubung, 75 peratus menggunakan komputer riba, 45 peratus “tablet” dan 37 peratus komputer “desktop”.

Dengan faktor-faktor tersebut jelasnya, adalah penting bagi usahawan bukan hanya perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tabiat pelanggan belia, malah penting juga untuk meramalkan apakah yang dijangka berlaku seterusnya.

Sehubungan itu, golongan belia perlu merebut peluang dalam industri halal berikutan Malaysia kini menduduki tempat pertama di dunia diikuti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

Malaysia terus menduduki tempat pertama di dunia dalam sektor makanan halal, kewangan Islam, pelancongan halal manakala “pharma” halal dan penunjuk kosmetik di tangga ketiga.

Sementara itu, 46 peratus penduduk Malaysia berada di bawah umur 40 tahun dengan 7.3 juta terdiri daripada orang-orang Islam. -malaysiaworldnews

 

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.