Dakwaan rasuah cemar imej kerajaan

corruption-allegation

SEJAK awal tahun ini, beberapa penjawat awam ditahan atas dakwaan rasuah dalam pelbagai bentuk dan ini memperlihatkan betapa kesedaran orang awam semakin meningkat dalam usaha membanteras perbuatan yang merugikan negara itu.

Tanpa kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan kes berhubung rasuah, penjawat awam   terbabit tidak akan berjaya ditahan dan didakwa di mahkamah, sekali gus membuktikan SPRM menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di sebuah kementerian dan lapan orang yang merupakan kontraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Berikutan penahanan itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan setiausaha bahagian terlibat adalah pegawai kanannya.

Sementara itu menurut laporan Utusan Malaysia semalam, enam orang termasuk lima pembantu penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ditahan oleh SPRM.

Mereka ditahan reman enam hari mulai semalam (23 Mac) bagi membantu siasatan dalam kes meminta dan menerima suapan daripada pemandu teksi dan “kereta sapu” yang mengambil penumpang tanpa kebenaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Sebelum itu pada awal Januari tahun ini, SPRM menahan antaranya enam anggota Pejabat Tanah dan Galian, Pahang bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan perlombongan bauksit secara haram di negeri itu.

Menurut SPRM, mereka yang terbabit adalah pegawai dari Pejabat Tanah dan Galian yang didakwa terlibat dalam pengeluaran dokumen pemindahan mineral (Borang 13D) untuk perlombongan bauksit haram di negeri itu.

Dengan beberapa kejadian kes rasuah yang didakwa dilakukan penjawat awam, rakyat sedikit sebanyak memandang serung terhadap sistem pentadbiran khusus yang menyentuh tadbir urus yang telus dan kecekapan kerajaan di negeri yang memerintah. Ini juga secara tidak langsung akan menjadi ukuran dan tanda aras bagi menentukan parti mana yang akan memerintah pada Plilihan Raya Umum (PRU-14) yang akan datang.

Bukan setakat itu, ianya turut mencerminkan betapa penjawat awam yang terbabit dengan dakwaan itu tidak amanah melaksanakan tugas, di samping sentiasa mengambil peluang untuk “mencari wang  tambahan” tanpa mengira impaknya kepada keselamatan orang ramai, apatah lagi untuk menjaga maruah bangsa, agama dan negara.

Bilakah agaknya penjawat awam yang bersikap tamak dan rakus melakukan perbuatan terkutuk itu akan berubah menjadi kakitangan yang bersih, cekap, amanah dan bertanggungjawab? Di manakah maruah dan jati diri penjawat awam yang terbabit sekiranya dakwaan itu benar-benar berlaku, tidak kah mereka malu dengan anak-anak dan bangsa mereka di atas perlakuan buruk sekiranya sabit di atas kesalahan itu nanti?

Jika semua melakukan transformasi diri ke arah menjadi penjawat awam yang  terbaik dan cemerlang, Insya Allah Malaysia bukan sahaja bersih daripada perbuatan rasuah malah menjadi negara maju yang mewah dan disegani dunia menjelang tahun 2020.

Dalam pada itu, Transparency International (TI) Malaysia melaporkan kedudukan Malaysia dalam senarai Indeks Persepsi Rasuah bertambah baik dengan meningkat tiga anak tangga kepada 50 daripada 175 negara.

Dalam kalangan Negara ASEAN pula, Malaysia berada nombor dua selepas Singapura dalam Indeks Persepsi Rasuah 2014,  Filipina ketiga, Thailand keempat dan Indonesia di tangga kelima. Sementaraitu, Denmark kekal di tempat pertama diikuti New Zealand, Finland, Sweden, Norway dan Switzerland.

Apa yang menjadi persoalan ialah, adakah kedudukan itu boleh dikekalkan oleh Malaysia pada tahun ini?-–malaysiaworldnews.

more recommended stories