Belgium diserang pengganas, 34 terkorban

brussel

BANDARAYA kosmopolitan Brussels, Belgium digemparkan dengan tiga letupan bom di dua tempat strategik iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa, Zaventem dan Stesen Metro Maelbeek dengan  mengorbankan 34 orang di samping lebih 100 orang cedera pada pagi Selasa.

Menurut media Belgium, sebanyak 14 orang terbunuh di Zaventem dengan 92 cedera manakala serangan di Maelbeek mengorbankan 20 orang dan 106 cedera.

Pihak pendakwa Belgium melaporkan, dua bom diletupkan di dewan pelepasan di Zaventem dan dipercayai dilakukan oleh pengebom berani mati. Kumpulan Militant Negara Islam (IS) turut didakwa bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Serentak dengan itu, sebanyak 600 penerbangan dibatalkan dan perkhidmatan kereta api Eurostar turut dihentikan sementara waktu dari Belgium atau dari luar negara itu.

Saluran television antarabangsa termasuk BBC dan Al-Jazeera melaporkan, pihak berkuasa Belgium sedang mengenal pasti kewarganegaan yang terkorban. Sementara itu, pasukan polis dan anggota tentera diarah mengawal semua tempat dan kawasan-kawasan strategik di negara itu.

Kejadian tragik itu berlaku selepas polis menahan seorang suspek dipercayai  mengetuai serangan di Paris, Perancis pada November tahun 2015, Salah Abdeslam,26, di Brussels minggu lalu.

Salah Abdeslam ditahan polis Belgium dalam satu serbuan di sebuah apartmen berhampiran bandar raya itu minggu lalu.

Salah adalah anak kelahiran Belgium dan warganegara Perancis merupakan pelarian yang sedang diburu di Eropah, namun sedang berusaha untuk diekstradisi di Perancis.

Sehubungan dengan itu, Setiausaha Agung NATO, Jens Stolberg dalam satu kenyataan berkata: “Serangan itu dilakukan oleh kumpulan pengecut… serangan kepada nilai-nilai masyarakat yang terbuka. Keganasan tidak akan menumpaskan sistem demokrasi dan kebebasan kami”.

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.