Hasil tani “mewahkan” belia – Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Majlis Pelancaran "Kempen Meremajakan Pertubuhan Peladang" di Kuala Lumpur semalam.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Majlis Pelancaran “Kempen Meremajakan Pertubuhan Peladang” di Kuala Lumpur semalam.

SUDAH sampai masanya golongan belia luar bandar melibatkan diri dalam bidang pertanian sebagai kerjaya  dan bukan memilih untuk bekerja di kilang selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Seri  Tajuddin Abdul Rahman berkata,  para belia yang melibatkan diri dalam bidang pertanian  mempunyai peluang luas untuk menjadi usahawan berjaya dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, kebanyakan belia Melayu suka memilih pekerjaan yang mementingkan penampilan yang bersih dan bukan pendapatan tinggi  yang boleh mengubah nasib mereka di masa hadapan.

Menurut beliau, para belia yang bekerja di kilang hanya berpendapatan RM1,500,  berbanding RM4,000 hingga RM5,000 sebulan yang diperoleh para petani menerusi  jualan hasil pertaniannya.

“Bidang pertanian menawarkan ruang yang luas di mana para belia boleh memilih sama ada menyertai  sektor tanaman, pemasaran, pemprosesan atau pengangkutan,” katanya pada Majlis Pelancaran “Kempen Meremajakan Pertubuhan Peladang” di Wisma Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kuala Lumpur , di sini semalam.

Beliau menambah, sektor pertanian memerlukan suntikan tenaga muda berikutan sebanyak 54.1 peratus adalah dalam kalangan berusia 50 tahun ke atas manakala hanya 15 peratus di bawah 40 tahun.  Kini LPP mempunya sebanyak 800,000 keahlian.

Dalam masa yang sama, beliau menyarankan agar kepemimpinan persatuan peladang di peringkat negeri dan kawasan mempunyai  gabungan tenaga muda dan tua supaya industri pertanian mempunyai hala tuju dan wawasan bagi mengisi  agenda negara yang lebih besar menjelang tahun 2020.

“Apa gunanya  Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya golongan petani tidak memanfaatkannya. Kita mahu mengeksport hasil tanaman yang diproses ke luar negara. Kita mahu usahawan tani Melayu menjadi seperti usahawan berjaya di Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Jepun,”tegas Tajuddin.

Beliau seterusnya menyarankan agar bank-bank komersial  tempatan selain AgroBank turut menyediakan peruntukan pinjaman wang  untuk golongan usahawan tani.

Terdahulu beliau memberitahu, bidang agro makanan perlu diperkasakan berikutan 30 peratus beras masih diimport, 70 peratus daging dan pelbagai jenis buah-buahan dan makanan binatang ternakan turut  diimport dengan melibatkan sejumlah RM17 bilion setahun.

 

 

 

more recommended stories

Seo wordpress plugin by www.seowizard.org.